Monday, September 22, 2014

Jemur Kasut

Assalamualaikum WBT,  selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Syukur kehadrat Ilahi kerana kita senantiasa diberi barakah dan nikmat yang tak terhingga oleh Allah SWT untuk kita nikmati tanpa kita sedari.

Macam biasa, sebagai seorang rider yang menunggang BabyZ ni. Abah nak bagi tip kat korang semua supaya gunalah apa2 sahaja apps untuk ramalan cuaca bagi kawasan-kawasan sepanjang perjalanan pergi dan balik. Apps ni cuma digunakan sebagai panduan jer untuk samaada nak pakai baju hujan siap2 ataupun tak sebelum nak memulakan perjalanan. Bak kata pepatah, Sediakan Payung Sebelum Hujan. Disamping menjimatkan masa, kita juga dapat menjaga keselamatan supaya kita tak perlu berhenti di pertengahan perjalanan yang mungkin mengundang pelbagai risiko.

Walaubagaimanapun bak kata pepatah jugak, Langit Tak Selalunya Cerah dan bak kata tajuk lagu yang dah ditukar tajuknya oleh Abah menjadi Ramalanku Tidak Benar Belaka, ramalan dalam apps tu kadang-kadang meleset sama sekali. Biasanya Abah akan guna selipar ala-ala Crocs untuk menunggang. Tetapi kali ini disebabkan kerana nak nampak hensem sikit, dan ramalan cuaca yang mengizinkan, Abah pun pulanglah ride motor dengan memakai kasut opis.

Dengan tidak disangka, hujan rahmat turun membasahi bumi hanya lebih kurang 5 kilometer sahaja lagi jarak untuk Abah sampai ke rumah. Hensemnya entah ke mana dan di bawah inilah hasilnya. Lenjun habis kasut opis Abah.

Di dalam kepenatan setelah sampai di rumah, Abah pun terfikir akan satu petua yang Abah tak tahu dari mana asal-usulnya. Iaitu kalau nak keringkan kasut yang basah, jemurlah kasut tersebut di belakang peti ais. Nampak tak objek yang terselit di celah antara kabinet dapur dan peti sejuk Abah tu. Itulah kasut Abah.


Di saat Abah membebel dalam blog ketika ini, kasut tersebut masih lagi berada di belakang peti sejuk tersebut dengan harapan kasut ofis Abah ini sempat kering untuk ke pejabat esok pagi ek. Ini adalah kali pertama Abah mengamalkan petua ini dan diharapkan ianya akan membuahkan hasil. #Pray4KasutOfisAbah hehe.


Sembang kali ini cuma sekadar sembang petang untuk Abah kongsi bersama korang. Apapun petua dan amalan yang nak kita lakukan, pastikan ianya tidak melanggar hukum syarak ek dan mulakan segala pekerjaan kita dengan lafaz Bismillah supaya segala pekerjaan yang kita lakukan ini hanyalah dengan keizinan Allah SWT dan mendapat keberkatan dariNya.

Ingat ek, Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...

Sunday, September 21, 2014

Sarapan Pagi @ Sate Maharani Muar

Assalamualaikum WBT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan marilah sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran kita di atas nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita. Dihujung minggu yang lalu, Abah balik ke kampung mertua di Muar Johor. On the way nak balik semula ke KL, Abah dan keluarga singgah di kedai makan yang wajib kami singgah untuk sarapan pagi iaitu Sate Maharani.

Lokasinya berhadapan dengan stesen bas Muar dan pastinya korang akan tau lokasi kedainya kerana kawasan tersebut akan diliputi asap hasil bakaran satay. Cuma agak sukar sedikit untuk mencari parking kerana kawasan tersebut agak sibuk. Tapi kalau dah teringin tu akan usaha jugakkan?


Apa yang menarik dan lainnya di sini adalah, kedai ini menyediakan hidangan satay pada waktu pagi. Breakfast dengan satay! Marvelouskan? Tak perlu lagi nak risau kalau tak dapat pergi pasar malam untuk beli satay semalam.


Menu yang ada agak pelbagai dan takkan sempatnya nak rasa semua. Jadi kitaorang akan pesan makanan yang kitaorang biasa order. Nasik Lemak Bungkus Simple Tapi Telur Rebus Sebijik dan Satay 3 Jenis Daging. Cuma yang agak berbeza hari ini adalah pertambahan menu baru iaitu Bebola Daging Kampungku atau dalam bahasa omputihnya Meatball.


Untuk komen tentang rasa tu, korang kena datang dan nikmati sendiri. Kelebihan tempat ini yang membuatkan Abah akan datang berkali-kali adalah kepelbagaian menunya.


Harganya pun agak berpatutan. Bila dah bayar, cashier tu siap bagi penanda buku menu kedai dorang lagi. Agaknya supaya senang nak order kalau datang lain kali.



Apapun aktiviti korang di waktu cuti sekolah yang baru berlalu ini, biarlah bermanfaat dan dihabiskan bersama orang yang tercinta. Rapat-rapatkanlah hubungan sesama anda dan ahli keluarga anda biar betul-betul jadi macam Air Yang Dicincang Takkan Putus. Hujung minggu ini pulak Abah nak ke Nur Laman Bestari Resort kat Ulu Yam tu untuk Family Day. Nanti Abah postkan entrinya ek. Salam dan selamat Beribadah dari Abah. Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...

Friday, September 19, 2014

5 Tips Nak Cuci Cermin.


Assalamualaikum WBT, selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Marilah kita lahirkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dengan sentiasa mengucapkan kalimah Alhamdulillah. Sudah agak lama Abah tidak membebel kerana tidak berkesempatan disebabkan kesibukan jadual seharian. Coretan kali ini Abah nak kongsi tips ringkas kalau korang nak cuci cermin.


Membersihkan tingkap atau cermin adalah antara kerja yang paling malas nak dilakukan kerana hasilnya yang kita dapati selalunya tidak akan menjadikan cermin tersebut kembali bersih dan seperti asal. Tetapi sebenarnya dengan menggunakan alatan yang betul, cermin kita pasti akan menjadi bersih dan jernih seperti baru. Berikut Abah nak kongsi 5 tips untuk membersihkan cermin.

1 Air Suling
Kebanyakan kita tidak mengambil kisah akan air yang digunakan untuk membersihkan cermin. Tetapi ianya penting buat cermin. Air biasa mengandungi pelbagai mineral yang mungkin akan melekat dan tertinggal pada cermin. Cuba gunakan air suling iaitu air yang telah ditapis. Contoh mudah air yang ditapis adalah air minuman yang kita beli kat kedai tu(Bukan air mineral tau).


2 Cuka
Cuka adalah merupakan bahan pelbagai guna yang sangat berguna. Sangat berguna sebagai bahan dalam resepi masakan dan begitu juga buat cermin yang kita nak basuh. Hanya dengan campuran separuh air dan separuh cuka sudah cukup untuk digunakan pada cermin. Cuma ianya disarankan untuk kegunaan cermin luar kerana selepas cucian ianya akan meninggalkan sedikit bau.


3 Sabun
Sebagai tambahan kepada kegunaan cuka, sabun boleh ditambah sedikit bagi cucian cermin di dalam rumah. Jangan guna terlalu banyak sabun, hanya sedikit sudah mencukupi.


4 Tisu Kertas / Kertas
Gunakan tisu kertas untuk mengelap cermin yang hendak dicuci. Lebih menjimatkan lagi jika kita menggunakan kertas suratkhabar. Lihat sendiri akan kesannya.

 

5 Kain Lap Kereta
Untuk lebih kemasan dan cermin yang bersinar, gunakan kain pengelap kereta iaitu kain yang dibuat daripada mikro fiber.


Biar apapun yang kita lakukan, sentiasa utamakan kebersihan kerana ianya adalah tuntutan agama. Kita sendiri pun takkan selesa kalau berada di dalam tempat yang kotor. Gambar-gambar di atas hanya sekadar hiasan jer ek. Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...

Monday, September 15, 2014

3rd TTS : Fraser Hill


Assalamualaikum WBT, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Marilah kita sentiasa ucap Alhamdulillah sebagai tanda kita bersyukur ke atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita.

Maaf sebab agak lama Abah tak post apa-apa disebabkan kesibukan bila menjelangnya cuti persekolahan ini. Akhirnya, Abah ambil kesempatan isi masa yang akhirnya terluang ini untuk keluar melihat bumi Allah SWT yang sungguh indah ini.

Sebenarnya cadangan awal adalah untuk pulang ke kampung. Akan tetapi disebabkan kerana Mama kena hadir ke sekolah untuk menunggu pelajar-pelajar yang pulang dari kem pada malam hari ahad, terpaksalah ditangguhkan hasrat tersebut. Maka terjadilah rancangan untuk panjat Fraser Hill ini.

Kami bergerak dari Kuala Kubu Bharu pada jam 8.22 pagi. Jalan yang dilalui pada mulanya agak selesa iaitu ala-ala highway. Namun setelah lebih kurang 9 ke 10 kilometer kami mula menempuh perjalanan yang agak mencabar dan penuh berliku(Bukan kisah sedih pun, memang jalannya berliku-liku). Setelah separuh perjalanan kami tempuhi, kami singgah sebentar di selekoh yang ada air terjun untuk sesi  photoshoot BabyZ kami bersama alam semulajadi.




Pengalaman, perasaan dan permandangan yang sungguh mengujakan. Kami meneruskankan perjalanan kerana perut masing-masing sudah pun berbunyi(belum sarapan lagi).


Destinasi yang hendak dituju semakin hampir, dan kami singgah sekali lagi di persimpangan di mana kita boleh naik ke Fraser Hill atau teruskan perjalanan ke Kuala Lipis, Pahang. Di dalam suasana hening dan tenang pagi, kami sekali lagi ambil kesempatan untuk photoshoot sekali lagi di sini.


Walaupun jarak untuk sampai ke Fraser Hill masih lagi ada 8 kilometer, kesejukan suhu di tempat tinggi sudahpun terasa. Nyamannya memang tak terkata. Nak ambil gambar sambil baring atas jalan pun boleh dek lengangnya jalanraya di sini.











Akhirnya kami sampai di Fraser Hill dalam jam 9.15 pagi dan walaupun kami berdua pertama kali sampai di sini, dapat jugak kami terjah ke medan selera di mana kami boleh ber TTS(Teh Tarik Session, walaupun tak minum teh tarik). Makanan biasa-biasa sahaja seperti medan selera yang lain yang ada kat negara kita ini cuma yang membezakannya adalah keenakan menikmati hidangan ketika suhu sekeliling yang sejuk. Memang best bila dapat layan air panas kat sini.


Apa yang tidak disangka akan terjadi adalah rezeki kami murah pada pagi ini kerana sarapan pagi kami dibelanja oleh bekas rakan sekerja yang kini tengah bercuti sekolah dan membantu makciknya di salah sebuah gerai di medan selera tersebut. Terima kasih diucapkan kepada guru dari MRSM Taiping ini. Siapa kata cikgu tak boleh bancuh air di kedai makan? Hehe.

Perut dah kenyang, kami pun bersiar-siar di sekitar Fraser Hill ini untuk mengabil beberapa lagi photoshoot. Kat bawah ini Abah lambakkan gambar-gambar yang sempat Abah ambil ketika di atas sana. Enjoy!












Pada sesi photoshoot di sini, Abah nak minta maaf pada pengunjung Fraser Hill yang lain yang terpaksa menunggu dan melihat karenah kami memperagakan aksi kami bersama BabyZ kami dekat jam ini. Sorry, memang kami tak perasan yang korang tengah tunggu turn nak ambil gambar kat sini jugak.















Lebih kurang jam 11 pagi kami bergerak turun dari Fraser Hill meninggalkan kenangan-kenangan indah yang tak mungkin dapat dilupakan ketika berada di sini. In Shaa Allah wajib datang lagi. Nasihat Abah bagi mereka yang hendak ke sini, pandu dengan berhati-hati kerana jalan untu ke sini adalah agak kecil dan terdapat banyak ranting-ranting pokok yang patah dan jatuh berdekatan dengan jalanraya. Apapun , safe ride.

Sebelum abah berhenti membebel, ingat ek. Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...