Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts

Saturday, September 27, 2014

Hari Keluarga 2014 : Family Day 2014

Assalamualaikum WBT, setelah sehari berlalu baru Abah boleh throwback balik event hari keluarga 2014 semalam. Dengan kepenatan yang melanda akibat dari aktiviti semalam, hari ini Abah rehat di rumah jer.


Bermula dari hari jumaat lagi, sebagai AJK persiapan tempat. Abah bersama AJK2 lain pergi ke lokasi untuk membawa segala peralatan keperluan dan hadiah-hadiah untuk disimpan kerana event bermula pada pagi sabtu.


Barang-barang dah habis di load kan kat dalamm bilik AJK dan memerlukan orang untuk menjaganya. Terpaksalah Abah volunteer untuk stay pada malam tu khas untuk jaga barang kat dalam bilik. Kesian kat BabyZ sebab kena tidur kat dalam hutan malam tu. Nasib baik ada bumbung, taklah berembun.


Nasib baik berteman.



Inilah barang-barang dan hadiah-hadiah yang Abah perlu jaga pada malam itu. Helmet dan jaket tu sekadar perhiasan sahaja dan bukanlah sebahagian daripada hadiah cabutan bertuah family day kali ini.


Berakhir kisah bermalan di Nur Laman Bestari Ulu Yam. Sebaik sahaja selesai subuh, Abah kejut BabyZ dan kitaorang bergerak balik ke rumah di dalam kesejukan gerimis di subuh hari. Bila dah bersiap, Abah dan family bergerak semula ke Nur Laman Bestari untuk join Family Day.



Nampak tak Abah bersama seorang lagi pemilik BabyZ berwarna putih bertugas menjadi MC. Untuk acara-acara santai macam ni boleh la. Tapi kalau untuk event-event rasmi rasanya tak boleh kut.



Apapun, semua orang enjoy. Bermula dengan acara senamrobik seisi keluarga sehinggalah ke aktiviti sukaneka. Semua ahli keluarga turut serta dan memeriahkan suasana.



Nampak tak anak Abah senamrobik tu.


Acara wajib family day, music chair.



Acara hari keluarga ini diakhiri dengan sesi fotografi seluruh staf dan juga bersama seluruh ahli keluarga. Kemudiannya  jamuan makan tengahari yang disajikan bersama kambing panggang. Resepi yang dah tak berapa rahsia daripada bos. Memang sedap dan sempoi.

Tak kira di mana tempat kita buat family day ni, kalau pengisiannya menarik mesti semua orang akan pulang dengan kenangan manis. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan program ini dan semoga tahun depan akan ada yang lagi best. Sepanjang 13 tahun Abah menyertai family day ini, sememangnya Abah la orang yang paling tidak bertuah bila tiba waktu hadiah cabutan. Selalunya takkan dapat apa-apa dan kalau hadiahnya disediakan untuk semua orang sekalipun macam hariini, nama Abah dicabut pada cabutan yang terakhir sekali. Suratan atau kebetulan, yang penting Abah sentiasa bersyukur pada nikmat yang Allah SWT kurniakan.

Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...


Thursday, September 25, 2014

Inspirasi Dari Seorang Isteri : Li Na Dan Tenis

Assalamualaikum WBT, pagi jumaat ini Abah nak kongsi satu sumber yang bolehlah dikatakan sebagai inspirasi buat para ibu di luar sana. Kisah jaguh tenis dunia dari China bernama Li Na.

Li Na Viewed Tennis As "Only Chance"

Li Na membuat satu kepulangan yang penuh emosi ke kampung halamannya di Wuhan, China beberapa hari selepas mengumumkan persaraan beliau daripada tenis kerana masalah lutut yang berterusan. Pada kejohanan Terbuka Wuhan baru-baru ini, Li Na membuat penampilan istimewanya untuk menerima pengiktirafan di dalam satu majlis pada kejohanan tersebut dan ternyata mempunyai ramai peminat.

Dalam temu bual dengan AFP, Li Na memberitahu bahawa kesan akibat kematian ayahnya pada usia beliau 14 tahun ke atas kehidupan dan kerjaya tenis beliau. Li Na mendedahkan bahawa dia berasa tenis adalah peluang untuk beliau membantu ibunya yang masih hidup. "Saya berfikir, anda adalah seorang gadis cantik yang besar, anda perlu menjaga ibu anda," kata Li Na dalam temuduga.

Li Na mengakui bahawa semasa muda dia tidak gemar selalu seperti bermain tenis tetapi terus berlatih dan bermain dengan harapan untuk berjaya dan membantu keluarganya. "Apabila bapa meninggal dunia, saya berfikir bahawa diri saya selalu berkata, 'Satu-satunya peluang adalah anda perlu menjadi pemain terbaik.'" Bintang tenis China, yang menjadi salah satu bintang sukan terbesar dari negara beliau, telah pergi dan memenangi dua kejuaraan perseorangan Grand Slam termasuk Terbuka Perancis 2011 dan Terbuka Australia awal tahun ini.

Nak Maklumat lanjut tentang beliau Klik Di Sini. Bermula sebagai seorang pemain tenis profesional dan kemuncak kariernya adalah selepas beliau menjadi isteri kepada suaminya Jiang Shan yang juga merupakan jurulatihnya.

Apa yang Abah nak kongsi di sini adalah faktor kejayaan. Ketepikan faktor agama, bangsa dan jantina jika kita hendak berjaya. Sememangnya kita sebagai orang Islam adalah orang yang telahpun berjaya. Tingkatkan amalan dan Tawakkal pada Allah SWT. Apabila tiba masanya dan bila kita telah benar-benar bersedia, Allah pasti akan hadiahkan kejayaan yang kita impikan.

Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...

Family Day 2014

Assalamualaikum WBT.  Family day, antara event yang dinanti-nantikan bagi anda yang bekerja. Acara yang selalunya akan diadakan pada setiap tahun oleh setiap majikan yang ambil berat akan kebajikan kakitangannya. Dengan adanya sedikit peruntukan dari majikan dan wang dari tabung badan kebajikan pekerja, acara ini wajib dilaksanakan.


Selain sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan bakti yang kita curahkan kepada majikan, acara ini juga dapat memberikan satu kesegaran yang baru kepada setiap kakitangan yang selama ini sibuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Acara ini juga membuktikan bahawa majikan juga mahu kita supaya tidak mengabaikan keluarga malah mengajak keluarga kita masuk ke dalam masyarakat di dalam persekitaran kerja kita.


Untuk family day tahun ini, Abah di amanatkan untuk menjadi MC's. Ala, orang yang banyak cakap dan kemaruk mikrofon tu (bak kata membr abah la). Rasa gementar pun ada sebab memegang peranan sebagai orang yang mengatur dan menjalankan program ketika program tersebut sedang berlangsung.


Anak-anak abah sudah tentunya tidak sabar-sabar kerana terdapat banyak acara-acara yang boleh diorang join. Abah harap program dapat berjalan dengan lancar di bawah cuaca yang baik dan dirahmati serta diberkati Allah SWT. Lokasinya hanyalah di Nur Laman Bestari di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam. Persekitarannya terbaik sebab penuh dengan persekitaran semula jadi macam sungai dan lain-lain.

Apapun, tunggu sambungan kisah family day Abah ini di hari kejadian berlangsung.  Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei ( Beramal )...Bukan Sekadar Blog Rider...

Thursday, September 11, 2014

5 Tips Untuk Bentuk Anak Soleh/Solehah

Assalamualaikum WBT, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Jangan lupa untuk kita senantiasa mengucap kalimah Alhamdulillah untuk menyatakan rasa kesyukuran kita terhadap segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Jangan sesekali kita tinggalkan solat kerana solat itu adalah tiang agama. Jika tiangnya tidak kukuh maka robohlah ia.


Untuk bacaan santai malam ini sebelum kita lelapkan mata, Abah nak kongsikan satu tazkirah yang Abah dengar pagi tadi mengenai cara untuk kita membentuk anak-anak yang soleh dan solehah. INGAT! Hanya ada 3 perkara sahaja yang boleh kita bawa setelah kita mati iaitu SEDEKAH JARIAH KITA, ILMU YANG DIMANFAATKAN dan DOA DARI ANAK YANG SOLEH.


Perasan tak perkara yang ketiga? Kita masih lagi ada masa dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak kita agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Kanak-kanak tidak berdosa untuk apa yang difahaminya kerana ibu bapa merekalah yang membentuk mereka samaada menjadi Islam, Yahudi, Majusi atau Nasrani. Kanak-kanak juga ibarat sehelai kain putih di mana kita sebagai ibu bapa yang akan mencorakkannya.


Berikut adalah 5 tips untuk kita amalkan agar Allah jadikan anak kita anak yang soleh dan solehah.

1. Ibu dan Bapa Yang Soleh & Solehah.
Ibu dan Bapa perlulah menjadi ibu dan bapa yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Kita sebagai ibu bapa perlu meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan mempertingkatkan lagi kualiti amal ibadat kita sehari-harian.

2. Berdoa
Sentiasalah berdoa dan memohon kepada Allah. Ketika di dalam sujud terakhir solat(dalam hati), selepas solat, ketika hujan lebat atau pada bila-bila masa sahaja. Doa biarlah beradab iaitu sekurang-kurangnya dalam keadaan bersih atau berwuduk, menghadap kiblat, menadah tangan dan sepenuh hati. Amalkanlah doa-doa yang telah diajarkan kepada kita atau berdoa sahaja dalam bahasa yang kita fahami kerana Allah Maha Pencipta. Allah SWT lah yang mencipta kita dan Allah SWT lah yang memahami kita.

3. Jangan Bertengkar
Sebagai ibu bapa, elakkan dari sebarang pergaduhan mahupun pertengkaran di dalam rumah apatah lagi di depan anak-anak kerana ia akan mewujudkan perasaan tidak tenteram dan tidak selamat di dalam fikiran anak-anak kita. Sentiasalah wujudkan suasana yang harmoni di dalam rumah.

4. Jauhi Maksiat
Ibu bapa hendaklah menjauhkan diri dari sebarang perkara-perkara yang fasik dan maksiat. Ini kerana dalam kita tidak sedar segala apa yang kita lakukan akan menjadi ikutan anak-anak kita jika tidak hari ini, mungkin esok.

5. Baca Al-Quran
Amalkanlah membaca Al-Quran. Bacaan yang dimaksudkan di sini adalah bukan setakat bacaan surah-surah lazim yang kita telah hafal. Tetapi hendaklah kita berusaha untuk secara berterusan membaca dan khatam Al-Quran serta belajar mendalami dan memahami maksud dan isi kandungan atau tafsir Al-Quran tersebut. Lebih elok lagi jika di baca bersama-sama suami, isteri dan anak-anak secara tadarus.

Maafkan dan betulkan Abah sekiranya terdapat salah dan silap di dalam penyampaian ilmu itu tadi kerana kemampuan Abah untuk mengingat hanyalah setakat ini sahaja. In Shaa Allah Abah akan terus belajar kerana ilmu itu penting. Sekian dulu dari AbahBZ.

Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...

Wednesday, August 27, 2014

Oh Ibu, Al Fatihah Untukmu.

Assalamualaikum WBT, selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat Baginda SAW. Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Ilahi kerana terlalu banyak nikmat yang kita perolehi dariNya sehingga ke saat ini. Jangan pernah kita untuk lupa melafazkan Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur kita kepadaNya.



Di tengah kesibukan kita mencari rezeki ini, pernah tak kita tertanya. Apa yang mak tengah buat sekarang ini? Mak aku sihat ker? Mak dah makan ker? Sebab soalan-soalan ini adalah antara ribuan soalan yang akan sentiasa bermain difikiran dan hati setiap ibu terhadap anaknya. Kita juga wajib merasakan apa yang mereka rasa.

Jangan terkejut dengan tajuk yang abah coret tu. Mak abah masih sihat wal afiat di kampung sana. Bagi yang tidak tahu, kita kena tahu yang bahawa sedekahkan Al Fatihah itu, bukanlah semata-mata untuk mereka yang telah tiada tetapi juga untuk mereka yang masih hidup. Jom kita amalkan setiap hari. Paling kurang 7 kali Al Fatihah diwaktu pagi dan 7 kali sebelum tidur. Kita sedekahkan buat :
  1. Nabi Muhammad SAW
  2. Sahabat2 Baginda SAW
  3. Para Ulama dan Ilmuan Islam
  4. Para Mujahidin
  5. KEDUA IBU DAN BAPA KITA
  6. Isteri dan anak2(Ahli Keluarga Kita)
  7. Seluruh Umat Islam
Bolehkan?

Kesian pada ibu kita yang sentiasa teringatkan kita. Apa kata kita ambil peluang cuti hujung minggu untuk balik bertemu dengan ibu kita. Tatap wajah ibu, picit badan ibu dan duduk bersama ibu. Temanlah mereka sementara mereka masih ada di bumi ini. Jadi, hujung minggu ni abah tak free untuk ride atau jalan-jalan. Abah nak balik Ipoh jumpa mak.

Jangan lupa ek. Sedekahkan Al Fatihah setiap hari buat ibu kita. Ride Tu Ride Jugak...Jangan Lupa Beramei(Beramal)...Bukan Sekadar Blog Rider...


Tuesday, August 26, 2014

Buat Apa Waktu Maghrib Ni?

Assalamualaikum WBT, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Walaupun kita  tidak dapat bertemu dengan Baginda SAW namun tanamkan perasaan serindu2nya untuk bertemu dengan Baginda SAW kerana itu adalah antara semanis2 rindu yang terbaik akan pernah anda rasai. Jangan pernah lekang dibibir kita ini untuk sekurang2nya berselawat selama 2 minit setiap hari ke atas Nabi Muhammad SAW.

Apa yang anda semua biasa buat waktu2 Maghrib ni? Cinta 200% ? Masih di luar rumah? Hmmm...Bagi yang lelaki tu abah sarankan jom kita ramai2 pergi solat berjemaah di surau atau masjid atau sekurang2nya Maghrib berjemaah bersama2 dengan ahli keluarga kita.


Lepas tu, suruh anak2 kita mengaji, baca Quran, Iqra'. Jangan biarkan diorang tinggalkan amalan ini. Biar amalan ini sebati dalam hidup diorang biarpun bermula dengan paksaan lembut dipermulaannya. Bagi abah, tak perlu kita nak ikutkan sangat ajaran barat yang lebih galakkan kita untuk anak kita menjadi lebih kreatif dengan membiarkan mereka melakukan apa yang mereka minat secara terkawal. Ketegasan terkawal perlu ada. Yang paling penting adalah apa yang terkandung di dalam kitab suci Kalam Allah SWT AlQuran.

In Shaa Allah, abah berani janji dengan anda semua yang anda akan tengok sendiri bagaimana EQ dan IQ anak kita berkembang. Kalau tak nampak hasilnya hari ini, mungkin esok. Kalau bukan esok mungkin lusa. kalau bukan lusa mungkin satu hari yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Janji Allah SWT itu pasti, kita akan dapat untuk apa yang kita usahakan ke jalanNya dan usaha kita ini hendaklah disertakan dengan kesabaran dan tawakkal.

Kalau kita belum memperolehi apa2 kejayaan hari ini, mungkin disebabkan Allah SWT tahu yang kita masih belum bersedia untuk menerima kejayaan tersebut. Kita akan menempuh kejayaan itu setelah kita benar2 bersedia. Percayalah ek. Abah harap blog ini kekal selamanya untuk rujukan sesiapa sahaja termasuklah anak2 abah dan sampaikan pada mereka yang tidak berkesempatan untuk mengetahuinya.

Abah nak ingatkan jugak hehe.. Ride Tu Ride Jugak, Jangan Lupa Beramei(Beramal)... Bukan sekadar Rider...

Saturday, August 16, 2014

Anak, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai.

Assalamualaikum,  apa aktiviti korang malam2 minggu ni? Bagi aku lepak kat rumah bersama isteri dan anak2 merupakan salah satu dari aktiviti yang paling best untuk dijalankan.
Kadang2 bila difikir2kan, susah sebenarnya menjadi ibubapa ni. Apa yang aku nak ceritakan ini hanyalah dari pandangan sudut seorang abah atau ayah atau bapa atau apa saja panggilan yang korang biasa panggil.
Ikut pandangan dan fikiran masing2. Ada yang selamba ada yang rilek dan ada yang bersahaja. Bagi aku yang beranak tiga ni, ianya adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul.
Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dilaksanakan. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan yang paling penting kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan adil. Adil bukan bermaksud kesamarataan tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Fikir2kan dan faham2kan.
Syukur aku dijodohkan dengan seorang isteri yang solehah yang amat memahami yang sanggup untuk bersama2 aku untuk memikul tanggungjawab ini samaada dari segi keperluan fizikal dan rohani anak2. Thank you sayang!
Korang kena ingat, memang betul kata pepatah yang mengibaratkan anak2 itu ibarat kain putih dan makbapak la yang memainkan peranan penting untuk mencorakkannya. Faktor2 lain seperti persekitaran cuma memainkan peranan kecil. Yang penting amalan dan tunjuk ajar dari mama dan abah itu sendiri yang sangat memainkan peranan.
Ada juga pepatah yang mengatakan anak2 adalah gambaran atau cermin bagi diri atau kelakuan kita sebenarnya. Memang betul. Dan inilah yang merupakan perkara yang paling aku takut sekali seandainya anak aku mengikuti tabiat atau perangai aku ni yang pemarah. Aku taknak diorang ikut perangai ini dan aku sedang cuba dan cuba dan cuba untuk berubah.
Ya Allah, lembutkanlah hati anak2 ku ini. Jauhilah mereka dari sifat2 marah dan ganas. Peliharalah mereka Ya Allah.
Kita kena sentiasa ingat. Marah itu datangnya dari syaitan. Itu adalah sifat syaitan. Mintak dijauhkan dari sifat2 tersebut.
Didiklah anak2 kita dari awal lagi dengan alif ba ta, al fatihah dan masjid. In Shaa Allah, Allah akan mempermudahkan yang selebihnya kerana kita harus menjadi hambaNya yang bertakwa dan bertawakkal.
Bagi sahabat2 yang masih belum mempunyai rezeki untuk mendapat anak, ingat. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita dan pasangan kita. Mungkin kita belum benar2 bersedia untuk zuriat kita. Bila tiba masanya nanti Allah SWT akan kurniakan juga. Sabar dan terus berusaha serta jangan berputus asa.
Pesanan untuk rider2 lain macam abah ni (rider part time jer), peruntukkan masa dalam jadual hidup kita untuk isteri dan anak2 walaupun hanya sekadar lepak2 didepan tv tanpa ada aktiviti kerana masa itulah yang anak kita akan ingat sebenarnya bahawa kita akan sentiasa ada untuk mereka.

Wednesday, August 13, 2014

Mulanya di sini..

Assalamualaikum wbt,
Sebenarnya blog ni takde la apa2 sangat pun. Cuma nak share memori dan pengalaman yang dilalui sepanjang hidup ni jer. Tiba2 terdetik di hati untuk coretkan apa2 saja yang dilakukan dalam hidup ini untuk tatapan dan bacaan di masa akan datang terutamanya untuk anak2 abah. Mana la tau kut2 boleh jugak dijadikan panduan. Siapa tahu, hanya Allah SWT yang tahu.. Salam perkenalan..